Friday, January 3, 2020

BILA TAMAK MENGUASAI DIRI...


Hari ini sudah masuk hari ketiga di tahun 2020...Terasa cepat masa berlalu...Terasa bagai baru semalam diri ini berada di tahun 2019, dan kini 2020 menjengah tiba...

Tahun ini di tempat kerja mungkin akan ada perubahan kerana pertukaran bos besar...Bos sebelum ini telah tamat kontrak penghujung 2019 yang lalu dan diambil alih oleh bos baru...Apa pun perubahan harus diterima dan setiap tugas yang diamanahkan harus dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin...Insya Allah...

Kali ini tiba-tiba terfikir untuk menulis mengenai sikap manusia yang wujud bukan sahaja di dalam drama atau filem tetapi juga di kehidupan dunia nyata, iaitu sifat tamak...Sifat tamak sememangnya salah satu sifat kebanyakan manusia di muka bumi ini...Tidak kisahlah sama ada tamakkan harta, tamakkan perhatian atau apa sahaja perasaan tamak yang boleh wujud dalam diri si penamak (ada ke bahasa tu)...hahaha...

Namun apa yang ingin dibicarakan pada kali ini ialah sifat tamak manusia sehingga sanggup mengorbankan persaudaraan...Sudah acapkali diri ini mendengar ada adik-beradik yang sanggup bergaduh berebutkan harta kekayaan sama ada yang berupa tanah, wang ringgit, emas permata dan sebagainya...Ada yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh (dalam drama lah selalunya, dalam kehidupan sebenar belum lagi saya jumpa...kalau ada pun mungkin membunuh secara tak langsung) asalkan apa yang dihasratkan tercapai...

Tanah, salah satu elemen penting dalam kehidupan seorang manusia, dan kerana elemen inilah banyak yang sanggup mengkhianati sesiapa sahaja termasuk ahli keluarga demi memuaskan nafsu tamak mereka...Ini kerana untuk membina rumah memerlukan tanah, untuk berkebun memerlukan tanah, dan meninggal dunia juga memerlukan tanah untuk dikuburkan, di mana ramai yang lupa mengenai perkara ini...

Ada adik-beradik yang berebut tanah pusaka ketika orang tua sudah tiada, ada yang berebut tanah untuk dijual kembali demi mendapatkan wang, dan ada juga yang berebut tanah kerana memang hobinya yang sentiasa tamak dan terlalu mengejar harta duniawi hingga mereka lupa bahawa setiap apa yang mereka lakukan di dunia ini akan dikira dan ditimbang walaupun sebesar zarah...

Harus diingat, kita hanya musafir yang didatangkan sementara di bumi Allah ini...Tiada apa yang kekal kecuali Allah...Bersyukurlah dengan apa yang ada...Jika inginkan kekayaan, berusahalah dengan mencari rezeki di jalan yang diredhai Allah, bukan senang dengan penderitaan orang lain...Ingatlah bahawa doa insan teraniaya tiada hijab...Jangan nanti belum dihisab di akhirat, di dunia sudah menderita kerana doa-doa mereka yang teraniaya yang Allah kabulkan...

Hiduplah dengan menghargai setiap nikmat yang Allah berikan, sama ada nikmat yang kecil apatah lagi nikmat yang besar...Cubalah untuk hidup dengan bersyukur dengan apa yang ada, insya Allah ketamakan tidak akan wujud dalam hidup kita...

Wassalam...

Wednesday, January 1, 2020

Selamat Tinggal 2019...

Alhamdulillah... Syukur ke hadrat Allah S. W. T. kerana masih diberikan peluang bernafas dan merasai kehadiran tahun baru 2020 ini... Pejam celik, pejam celik, akhirnya tahun 2019 telah pergi dan disambung dengan kehadiran tahun 2020...
Banyak kisah yang telah terjadi sepanjang tahun 2019 yang lalu... Ada suka, duka, sedih, manis, pedih, gembira dan sebagainya... Begitu juga dengan kehidupan diri ini, yang telah diuji dengan dugaan yang amat berat untuk ditanggung oleh sesiapa sahaja yang bergelar ibu atau ayah, apabila permata hati tercinta jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital lebih dua minggu... Syukur kepada Allah S.W.T. yang telah menyembuhkan anakanda tercinta walaupun doktor sendiri tidak memberikan sebarang harapan untuk anakanda tercinta sembuh kembali ketika itu... Terima kasih Ya Allah kerana mengembalikan kesihatan Puteri kami seperti sedia kala... 
Kisah yang terjadi di tahun 2019 telahpun menjadi sejarah... Kini yang penting ialah untuk memperbaiki diri ini agar menjadi hamba-Nya yang lebih baik, dapat berbakti kepada kedua orang tua, menjadi suami yang terbaik untuk bidadari tercinta dan seterusnya menjadi ayah yang didambakan oleh semua anak-anak di dunia... Hahaha... 🤣🤣🤣
Diharapkan tahun baru ini akan membawakan seribu sinar harapan baru yang penuh kegembiraan serta kebahagiaan untuk diri ini dan keluarga serta memberi kekuatan dan kecekalan andai diuji oleh Allah S.W.T. dengan halangan dan ujian... 
Insya Allah... 

Wednesday, November 27, 2019

Selamat Ulang Tahun Sayang...


Tanggal 28 November 2015, merupakan tarikh bermakna dalam kehidupan aku sebagai seorang lelaki...Tarikh yo aku telah selamat di ijab qabul dengan seorang wanita yang amat ku cintai, amat ku sayangi dan segalo jenis amat lah...

Tarikh 28 November datang agik, tapi di tahun yang berlainan, tahun 2019...Maksud ey ari tuk merupakan ulang tahun perkahwinan aku dan isteriku yang ke-4...Syukur pada-Mu Ya Allah atas kurniaan yang sik terhingga tuk...

Maafkan kamek sayang sebab tahun tuk sik ado apo-apo hadiah untuk ulang tahun kito...Hadiah kasih sayang jak yang mampu kamek berikan tahun tuk...Hehehe...

Tapi kamek raso hadiah paling bermakno bagi kito duak ialah kesihatan puteri kito yang dah semakin bait...Ujian besar yang kito hadapi memang amat berat untuk kito lalui tapi alhamdulillah, Allah memberikan kesembuhan untuk puteri kito dan puteri kito semakin sihat dan pulih dari hari ke hari...Dan kamek tauk Allah sik akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan kito dan Allah memberikan ujian tuk sebab Allah sayangkan kito dan rindukan kito agar kito terus menadah tangan berdoa, sujud dan memohon kepada-Nya...

Syukur alhamdulillah sokongan daripada keluargo terutamanya dan sahabat-sahabat banyak memberikan kekuatan dan semangat untuk kita melepasi ujian tuk...Terima kasih yang sik terhingga untuk mak, abah, bapak, adik-beradik dan semuo ahli keluargo serto sahabat-sahabat yang sentiaso membantu di saat kito amat memerlukan cidak...Hanya Allah jak mampu membalas segala jasa bait cidak selamak tuk...

Kamek sik mampu nak merik emas sebesar gunung, berlian seluas padang boi di lot fasa 1 yo, atau duit not seratus setinggi dan sebesar bangunan Sultan Iskandar di Simpang Tigo nun, tapi yang kamek janji ialah kamek akan berikan yang terbaik untuk jadi suami sayang dan akan terus menyintai dan menyayangi sayang buat selama-lamanya...Kamek janji akan jaga sayang dan puteri kita sebaik mungkin selagik kamek maseh bernafas...

Makseh kamek ucapkan atas segala yang sayang telah berikan selamak tuk...Segala pengorbanan, kasih sayang, dan segala apa yang sayang telah berikan untuk kamek, hanya Allah jak yang dapat membalasnya...Sik ado wanita lain sehebat sayang yang sanggup melayan lelaki yang banyak kerenah dan sik romantik macam kamek tuk...hehehe...

Kamek sentiaso titipkan doa agar kita dipanjangkan usia, jodoh kita berkekalan di dunia dan akhirat dan kita akan bahagia di setiap hela nafas kita...

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan Yang ke-4 Sayang... 
Love you so much My Love...I will love you forever and ever...

(Ateh-ateh, pande juak aku molah ayat lam bahaso orang puteh...Betoi ndak kah ayat yo...Ah...!!! Koti nyo lah sio...Asai aku paham jak...)


Sunday, October 13, 2019

Tutuplah Aib, Usah Dicanang Bagai Pesta Keramaian...

Dewasa ini, media sosial seperti facebook, whatsapp, twitter, ataupun instagram merupakan salah satu media perhubungan yang amat penting... Bukan sahaja untuk memuatnaik status, tetapi juga digunakan untuk berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan yang jauh... Melalui media-media sosial ini, dunia sudah menjadi dekat dan tiada lagi sempadan... 

Namun seperti biasa, setiap perkara yang membawa kebaikan tidak dapat lari daripada keburukan walaupun mungkin sedikit... Begitulah juga dengan media sosial... Setiap status yang dimuatnaik tidak ada sekatan... Apa jua yang dirasakan di hati boleh diluahkan walaupun mungkin membawa kesan buruk terhadap diri-sendiri ataupun orang lain... 

Membuka aib contohnya, sama ada aib sendiri atau aib orang lain, seolah-olah sudah suatu perkara biasa di media-media sosial ini... Si polan membuka aib si payan, si payan membalas dengan membuka aib si polan... Akhirnya semua aib yang seharusnya dilindungi akhirnya diketahui oleh orang lain... 

Baru-baru ini saya terbaca akan status seseorang yang bagi saya status tersebut tiada ditujukan kepada siapa-siapa tetapi ada beberapa individu yang terasa dan meletakkan komen yang bukan sahaja mengaibkan pemilik status, tetapi juga diri tukang komen tersebut... Jika ada salah silap sekalipun, lebih baik andainya terus mesej secara langsung dengan pemilik status, usah dicanang di facebook kerana komen-komen tersebut bukan hanya dilihat oleh seorang dua, tetapi sesiapa sahaja boleh melihat komen tersebut... 

Sekadar gambar hiasan
Bukan sahaja aib, malah kebodohan diri turut terserlah di situ... Sebaiknya sebelum komen, fikirkan baik buruk dahulu... Jangan komen sebarangan mengikut hawa nafsu iblis semata... Iblis ketawa, kita yang derita... 

Tutuplah aib, tidak kira aib orang atau aib diri, insya Allah, Allah S.W.T akan menutup aib kita... Andainya kita tahu betapa banyak aib kita yang telah Allah tutupkan, nescaya kita pasti akan menangis dan meratap memohon keampunan kepada Allah setiap saat dan ketika... 

Sama2 lah kita ingat yang kita hidup di dunia hanya sementara... Tiada yang kekal kecuali Allah S.W.T... Tulisan ini hanyalah sekadar peringatan untuk diri ini yang kerdil dan banyak berdosa... Semoga segala dosa diri ini dan mereka yang membaca coretan ini diampunkan oleh Yang Maha Esa... 

Wassalam... 

Thursday, May 30, 2019

Ramadhan Kini Di Penghujungnya...

Sedar tak sedar, hari ini merupakan Ramadhan yang ke-26...Bermakna kita kini sudah pun berada di penghujung Ramadhan...Syukur ke hadrat Illahi kerana memberikan peluang kepada kita untuk merasai nikmat berpuasa di bulan yang mulia ini di samping mengerjakan amalan-amalan sunat yang lain yang semestinya dibalas dengan ganjaran pahala yang besar bagi yang benar-benar ikhlas dan hanya mengharapkan keredhaan-Nya...

Diharapkan ini bukanlah Ramadhan terakhir bagi kita kerana kita tidak akan pernah tahu bilakah malaikat maut akan menjemput kita...Dan bukan hanya itu, andainya kita dipanjangkan usia sekalipun, apakah kita masih diberikan kudrat oleh Yang Maha Esa seperti sekarang...???Masih mampukah kita untuk melaksanakan puasa, amalan-amalan wajib dan sunat yang lain atau mungkin di tahun hadapan kita tidak sesihat sekarang...???Hanya Allah Yang Maha Mengetahui nya...Apapun tugasan kita ialah untuk menjaga diri kita yang Allah amanahkan dengan sebaik mungkin agar terus sihat walaupun setiap tahun usia kita pasti akan bertambah...

Hanya tinggal lima hari lagi kita akan meraikan hari kemenangan sebagai tanda kejayaan melalui bulan yang penuh keberkatan ini...Pastinya ada di antara kita yang mungkin pada tahun ini merupakan tahun yang pertama beraya tanpa insan tersayang...Diharapkan mereka terus tabah dan meraikan hari lebaran kali ini dengan sebaik mungkin tetapi tidak melupakan ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang telah pergi terlebih dahulu meninggalkan kita buat selamanya...Doakan semoga mereka yang telah pergi diampunkan segala dosa mereka dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman di sana...

Di kesempatan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR & BATIN kepada semua yang mengenali diri saya sama ada di dunia nyata mahupun di alam maha...Saya memohon kemaafan andai ada tulisan saya di blog ini ataupun di mana-mana saluran media sosial yang saya gunakan pernah mengguris dan menyakiti hati sesiapa sahaja...Sesungguhnya saya hanya manusia biasa yang penuh noda dan dosa...

Semoga segala amal kebaikan yang kita lakukan pada bulan Ramadhan kali ini akan dapat membela nasib kita apabila kita telah tiada kelak dan mampu membantu kita saat kita dibangkitkan kembali oleh Allah S.W.T. pemilik segala yang ada di langit dan bumi...Insya Allah...
Wassalam...